Selasa, 13 Januari 2015

Rozana. Lakukan amalan khurafat?, Rambut, tulang, darah ditemui di rumah Awie



Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini dikejutkan dengan pendedahan mengatakan isteri kepada penyanyi terkenal Awie iaitu Rozana Misbun mengamalkan amalan khurafat sepanjang sembilan tahun perkahwinan pasangan itu.

Peguam Syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah anak guamnya mempunyai bukti kukuh dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ampang di sini.

Jelas Mohd Zaidi dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Jais, anak guamnya menemui barang-barang seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.

Selain itu, turut ditemui adalah tangkal yang dibungkus dalam kain hitam dan kuning serta tali pusat bayi dan barang-barang lain dibungkus dengan kain dari warna sama.

"Anak guam saya telah menemui sebahagian barang tersebut sebelum responden meninggalkan kediaman mereka dan sebahagian lagi dijumpai setelah responden meninggalkan rumah.

"Barang-barang tersebut telah disorok di bawah tilam, di dalam almari pakaian, ditanam di dalam pasu bunga dan disembunyikan dalam rak barang perhiasan di rumah tamu," katanya.

Mohd Zaidi berkata demikian pada sesi penghujahan balas dalam perbicaraan tuntutan membatalkan perintah ex-parte terhadap hak penjagaan anak yang dikemukakan oleh Rozana pada 8 Ogos tahun lalu.

Pada 21 Julai tahun lalu, Awie berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga orang anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Dalam pada itu, Mohd Zain dalam penghujahannya turut mendedahkan, Rozana selaku responden dalam kes tersebut telah mengaku kepada suaminya telah menggunakan botox untuk mengubah wajahnya selain memasang susuk untuk tujuan sama.

Perkara itu menurut Awie selaku pemohon dilakukan tanpa kerelaan dan pengetahuannya selaku suami yang sah di sisi syarak.

"Responden juga seorang yang tidak amanah apabila telah menggunakan dan membelanjakan wang simpanan pemohon yang telah diamanahkan untuk disimpan di dalam akaun bank dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) demi masa depan keluarga.

"Wang berkenaan telah digunakan untuk membeli barangan berjenama seperti Louis Vuitton, Chanel, Dolce & Gabanna dan lain-lain tanpa keizinan pemohon," jelasnya lagi.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Rozana iaitu Jamal Lokman Mohd Sulaiman terdahulu dalam penghujahannya memberitahu mahkamah alasan dikemukakan pihak pemohon terhadap kes terbabit adalah bersifat masalah di antara suami isteri yang tidak melibatkan kebajikan anak-anak mereka.

Jelas Jamal, dakwaan terhadap Rozana berhubung isu khurafat tidak dapat disahihkan kebenarannya selain melihat isu keterdesakan yang dibuat pemohon terhadap kes itu tidak kukuh.

Malah Jamal turut mempertikaikan tentang manipulasi pemohon yang menggunakan sijil nikah palsu dan menyembunyikan fakta sebenar untuk mendapatkan hak penjagaan sementara anak-anak mereka.

Mohd Amran bagaimanapun menangguhkan keputusan kes berkenaan pada Rabu.

0 ulasan:

Catat Ulasan